BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, July 21, 2011

Mungkin kerana wajah kampung

TIADA apa yang mampu diungkapkan pelakon berbakat, Noorkhiriah Ahmad Shapie, 35, selain amat bersyukur dengan pencapaian yang diraih kini.
Nyata, segala pengorbanan dan kepayahan yang pernah dilalui sebelum ini berbaloi buat dirinya. 
Jika dulu Noorkhiriah mung–kin bersusah payah mencari peluang untuk membina nama sebagai anak seni, kini, dia boleh dikatakan sudah mencipta kejayaan besar dalam kariernya.

Berstatus pelakon drama wanita terbaik dan juga artis komedi popular.

Berkat usaha lebih 10 tahun, ibu kepada dua anak ini menang Pelakon Wanita Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) pada Disember tahun lalu dan dia juga dipilih sebagai Artis Komedi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada April lalu.

Pencapaian di ASK2010 adalah yang kedua selepas Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama pada 2007 manakala di ABPBH pula, merangkul gelaran Artis Komedi Wanita Popular selama tiga tahun berturut-turut.

Noorkhiriah berkata, biarpun bakat lakonannya kini sudah diberi pengiktirafan, secara jujurnya dia belum benar-benar berasa puas.

Anak jati Pahang ini mengakui masih ada impian yang belum tercapai.

Katanya, sekalipun sudah dicabar dengan pelbagai watak sama ada sedih atau ceria dan berjaya membuktikannya, dia ingin melakonkan watak wanita korporat.

“Sepanjang bergelar pelakon, terus-terang saya katakan masih belum diuji dengan karakter wanita korporat. Mungkin kerana saya berwajah wanita kampung dan tidak komersial, watak itu dilihat kurang sesuai untuk saya. Namun, cubalah dulu sesuai atau tidak.

“Jika memang tak sesuai, tak mengapa asalkan saya diberi peluang mencuba. Apapun, saya yakin boleh melakonkan watak wanita korporat dengan baik walaupun berwajah kampung.

“Justeru, saya akan berusaha memecah ruyung ini. Mana tahu boleh dapat sagu diharapkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama komedi terbarunya, Boona & Boonie untuk TV9, baru-baru ini.Noorkhiriah juga bangga kerana turut menjayakan iklan produk seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), Ketupat Faiza, Tepung Faiza dan terbaru, Pet Pet.

Katanya, biarpun tidak berstatus sebagai duta produk, tetapi yang penting peluang diperoleh.

Dia sedar, bukan mudah memiliki peluang berkenaan memandangkan produk diiklankan keluaran syarikat ternama dan jenama besar.

“Saya sangat gembira menjayakan iklan televisyen lebih-lebih lagi bersandarkan wajah kampung ini. Saya sebenarnya tidak pernah menduga akan terpilih menjadi model iklan. Maklum sajalah, pengiklan pasti menginginkan wajah komersial.

“Apapun, barangkali sudah rezeki saya dan terima kasih kepada dua individu ini yang membantu mengenengahkan nama saya dalam bidang pengiklanan.

“Kepercayaan dan keyakinan diberikan kak Idah dan abang Mali pada saya amat dihargai,” katanya.

Semakin dikenali dengan watak komedi, Noorkhiriah mengakui dia juga bukanlah seorang pelakon yang suka memilih watak.

Katanya, begitu juga dengan karakter wanita korporat yang disuarakan kerana dia sekadar ingin menonjol bakat.

Jelasnya, diharapkan tiada pihak yang tersinggung dengan apa yang diluahkan itu.

Menurutnya, sebagai pelakon dia jujur mengatakan apa yang teringin dan harap diberi peluang.

Baginya, tidak semestinya muka kampung tiada tarikan komersial.

Mengenai tawaran berlakon filem, nama Noorkhiriah boleh dikatakan ‘kurang mekar’ dan rezekinya di filem tidak sehebat drama.

Bagaimanapun, kata Noorkhiriah, tawaran berlakon filem ada diterima dan baru saja menjayakan Papadom 2 arahan Afdlin Shauki.

“Kalau diikutkan, babak saya dalam filem ini banyak juga, tetapi memandangkan jadual penggambaran bertindan dengan drama dan telefilem, maka ia dikurangkan. Saya hanya terbabit dalam beberapa babak dan itu pun cukup untuk saya bersyukur.

“Apa yang pasti, karakter diberikan sesuai dan babak banyak atau sikit, bukan persoalan utama. Lagipun, saya berlakon kerana minat dan tidak mengejar anugerah. Ditambah lagi, wajah saya yang tidak komersial ini tentunya sukar untuk menarik masyarakat ke panggung membayar RM10 semata-mata menyaksikan lakonan saya.

“Dalam soal ini, syukur saya masih sedar diri dan tahu di mana tempat berpijak. Justeru, saya tidak mahu hanyut dan angkuh dengan anugerah yang dimiliki. Bagi saya, jika selepas ini anugerah yang pernah dimenangi menjadi milik pelakon lain, biarkanlah. Itu rezeki yang ditetapkan Tuhan dan tidak wajar untuk saya berebut-rebut,” katanya.

Mengenai drama Boona & Bonie lakonannya, Noorkhiriah berkata, dia berganding buat kali kedua dengan Ieda Moin selepas 10 tahun tidak berlakon bersama.

Katanya, memang seronok sepanjang penggambaran kerana mereka satu kepala dan gila-gila.

Drama komedi mencuit hati arahan Shahrulezad itu akan menemui penonton TV9 setiap Sabtu dan Ahad, jam 8.30 malam.

Gandingan Noorkhiriah dan Ieda bukan sekadar serasi, tetapi mereka berjaya menjiwai watak dan memberikan lakonan yang berkesan.

0 comments:

There was an error in this gadget

Rakan Baik (:

Sukaa lagu nii :)