PENDANG: “Biawak itu melompat ke arah anak saya menyebabkan kepalanya cedera dipercayai terkena kuku haiwan itu,” kata Nor Faizah Aziz, 17, ibu kepada bayi perempuan berusia dua bulan yang cedera kepala terkena kuku biawak yang memasuki rumahnya di Taman Seri Mas, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, bayi terbabit, Eryna Insyirah Mohd Redzuan sedang tidur di atas katil dalam sebuah bilik di rumah itu manakala Nor Faizah sedang memasang langsir di ruang tamu.
Nor Faizah berkata, ketika sedang menggantung langsir dia terdengar bunyi sesuatu sedang mencakar tikar di bahagian tepi ruang tamu.
“Saya memeriksa dan terkejut mendapati seekor biawak sepanjang kira-kira satu meter di situ,” katanya.
Reptilia itu yang turut terkejut dengan kehadiran Nor Faizah, berlari masuk ke bilik tempat anak tunggalnya itu sedang tidur.
“Selepas memanjat katil anak saya, ia terus bersembunyi di bawah katil.
“Saya segera mendapatkan anak saya yang ketika itu sedang menangis selain terdapat kesan luka dan darah di kepalanya,” katanya yang membawa anaknya itu ke klinik berhampiran.
Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pendang, Izzudin Inus Meah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam11.45 pagi dan sepasukan anggota dihantar ke tempat kejadian.
0 comments:
Post a Comment